Nov 25, 2008

RaMALan Utk MaLaYSia..2020

Saya dan Amin (bukan nama sebenar) secara santai menjadi nujum politik hari ini. Kami cuba merungkai masa depan Malaysia seandainya teori RAHMAN (teori politik berkenaan pemegang jawatan Perdana Menteri) berjaya dilengkapkan oleh Najib Razak. Amin mencetuskan teori RAZAK, yakni teori baru yang akan digunapakai selepas Najib menjadi PM.
Kami meramalkan, Najib tidak akan lama menduduki kerusi PM. Sebaik sahaja Abdullah Badawi melepaskan jawatan sebagai PM, Tengku Razaleigh Hamzah akan mengumumkan untuk menyertai Anwar Ibrahim melalui Pakatan Rakyat (PR). Antara yang akan mengikut jejak langkah Tengku Razaleigh ialah sekumpulan ahli parlimen UMNO termasuk Ahmad Zahid Hamidi dan Khairy Jamaluddin yang sudah tidak mempunyai harapan dalam percaturan politik UMNO. Penghijrahan ini seterusnya akan disusuli dengan ahli-ahli parlimen dari Sabah dan Sarawak yang sememangnya sudah bersedia untuk menyertai PR.
Kemasukan beramai-ramai ahli-ahli parlimen Barisan Nasional (BN) ke dalam PR waktu itu nanti akan menyaksikan kejatuhan kerajaan BN seterusnya peralihan kuasa akan berlaku. Tengku Razaleigh akan menyertai PAS dan kemudiannya membuat perjanjian dengan Anwar Ibrahim untuk mengisi kerusi PM selama dua tahun (sehingga 2011). Melalui perjanjian ini, PAS berjaya menduduki jawatan PM melalui Tengku Razaleigh. Ini akan membenarkan teori RAZAK untuk huruf R iaitu untuk Razaleigh.
Pada tahun 2011, Tengku Razaleigh (selepas berjaya memenuhi impiannya untuk menjadi PM) akan melepaskan jawatan dan kerusi PM seterusnya diduduki oleh Anwar. Sebaik sahaja mengambil alih kerajaan, Anwar akan membubarkan Parlimen untuk membuka ruang buat Pilihanraya Umum ke-13 (PRU 13) bagi memperoleh mandat baru dari rakyat. Keputusan PRU 13 bakal menyaksikan kekalahan teruk UMNO-BN dengan menyaksikan kekalahan di semua negeri kecuali Melaka dan Johor.
Anwar akan memegang jawatan PM untuk tempoh sepenggal (sehingga 2016) dan bersara kerana kesihatannya yang tidak mengizinkan. Kejayaan Anwar sebagai PM akan membenarkan teori RAZAK untuk huruf A iaitu untuk Anwar.
Ketika menjadi PM, Anwar melantik Ahmad Zahid selaku Timbalan Perdana Menteri (TPM) yang pada ketika itu merupakan tokoh penting PKR. Selepas Anwar bersara, Ahmad Zahid mengisi kerusi PM dan membubarkan Parlimen untuk mengadakan Pilihanraya Umum ke-14 (PRU 14). Pengaruh PR semakin kuat di kalangan rakyat dan PRU 14 menyaksikan kemenangan PR. UMNO-BN semakin lumpuh selepas kehilangan Melaka yang kemudiannya menerima Ketua Menteri baru bernama Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Ahmad Zahid kemudiannya melantik Azmin Ali sebagai timbalannya seterusnya mentadbir negara dengan cemerlang selama empat tahun. Pencapaian Ahmad Zahid sebagai PM akan membenarkan teori RAZAK untuk huruf Z iaitu Zahid.
Menjelang tahun 2020, Ahmad Zahid mengumumkan persaraannya dan kerusi PM seterusnya diisi oleh Azmin Ali. Melalui kepimpinan Azmin Ali (berumur 56 tahun ketika dilantik sebagai PM), Malaysia muncul sebagai sebuah negara maju sebagaimana yang diimpikan oleh Dr. Mahathir Mohamad (barangkali sudah tiada pada waktu itu). Azmin menerajui negara secara sistematik dan tersusun, pun demikian bersifat sedikit autoritatif seperti Dr. Mahathir.
Pada waktu itu, persefahaman antara kaum semakin harmoni dan isu perkauman sudah tidak punyai tempat di kalangan rakyat. Khairy Jamaluddin yang pada ketika itu merupakan pengerusi DAP telah dilantik sebagai TPM oleh Azmin. Azmin mentadbir negara lebih lama daripada Dr. Mahathir dan mencipta rekod sebagai PM paling lama pernah berkhidmat. Beliau mengumumkan persaraan ketika berusia 80 tahun (tahun 2044). Pencapaian Azmin sebagai PM akan membenarkan teori RAZAK untuk huruf A iaitu Azmin.
Ketika Azmin mengumumkan persaraannya, Khairy telah pun berumur 67 tahun. Impian beliau untuk menjadi PM sebelum berusia 40 tahun tidak berjaya direalisasikan pun demikian, beliau tetap menjadi PM dan merupakan PM paling tua pernah dilantik. Apa yang menarik, kejayaan Khairy sebagai PM bukan sekadar membenarkan teori RAZAK untuk huruf K, bahkan turut menyaksikan kejayaan DAP menduduki kerusi PM!

Apa pun, ini sekadar ramalan kami berdua. Saya tidak akan bertanggungjawab terhadap akidah dan keimanan kalian seandainya ada yang mempercayai ramalan ini!~!

ini adalah entry dari blog org, just nak share dgn contributor every-rant-counts~~~~ rizk86

No comments:

Alliances